Followers

Sunday, February 7, 2010

jom cuba rawatan herba...rahsia daun ubi kayu.



Siapa sangka daun ubi kayu tiada kegunaannya.. Selain direbus dibuat ulam atau dibuat pecal, daun ubi kayu juga dipercayai digunakan dalam perubatan tradisional dalam merawat sengatan gigitan serangga berbisa dan juga kegunaan lain yang mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini. Berikut cerita benar seorang guru....
“Saya adalah seorang guru sekolah rendah yang pernah bertugas di beberapa tempat di negeri Sabah. Saya banyak berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan dan juga penduduk tempatan di tempat-tempat saya pernah bertugas berkaitan dengan perubatan kampung atau tradisional.
Semasa saya bertugas di daerah Tuaran, di suatu kawasan perkampungan nelayan yang sebahagian besarnya adalah etnik Bajau, saya pernah diberitahu tentang rahsia merawat sejenis penyakit misteri yang barangkali hanya wujud di sekitar masyarakat tersebut. Pada suatu masa dahulu ada terdapat suatu penyakit kulit yang misteri dan amat sukar diubati dengan perubatan moden walaupun oleh pakar sakit kulit dan biasanya menurut mereka, penyakit tersebut hanya dapat diubati oleh segelintir orang yang tahu tentang rahsia penyebab penyakit tersebut.
Penyakit tersebut dipanggil “samaie” dan dikenakan kepada orang tertentu melalui makanan (boleh mengakibatkan busung) atau sentuhan kepada kulit manusia. Bahan yang digunakan adalah himpunan 7 jenis barang terkotor dan miang tumbuhan seperti miang buluh dan miang ulat bulu.Barang-barang terkotor adalah seperti cairan daripada bangkai binatang dan juga mayat manusia. Akibat daripada terkena campuran tadi ialah jika terkena di kulit maka kulit akan menjadi gatal dan pedih yang teramat sangat, makin digaru semakin merebak dan akhirnya menyebabkan kulit bernanah dan menggelupas.Jika seseorang yang terkena itu tidur di atas tikar maka tikar akan melekat pada daging/kulit mangsa. Azab sengsara hanya Tuhan sahaja yang tahu, begitu kata orang tersebut.
Ramuan untuk mengubati penyakit tersebut adalah seperti berikut: daun ubi kayu yang masih segar, isi kunyit, kapur sireh, santan kelapa pekat sebaiknya yang berwarna hijau dan daun sireh yang matang. Kesemua bahan herba tadi harus dilumatkan dan disapu ke serata badan atau kawasan yang telah dijangkiti penyakit.

Saya hanya menyampaikan perkongsian ilmu, keberkesanan hanya diketahui oleh mereka yang pernah menjadi mangsa kepada perbuatan keji sesama manusia itu sahaja. Apapun, melalui pengalaman saya sendiri, daun ubikayu adalah bahan herba yang berkesan untuk merawat kesan sengatan atau gigitan serangga berbisa seperti lipan dan penyengat.Ramas daun ubukayu dan tempelkan kepada bekas gigitan atau sengatan, mudah-mudahan akan cepat hilang kesan bisa dan juga tidak akan membengkak sengatan atau gigitan tersebut. Insyaallah.