Followers

Saturday, October 24, 2009

Rahsia laman kekal menarik


RAMAI yang mahu memiliki laman yang cantik seperti di bilik pameran atau nurseri tanaman. Namun, kebanyakannya tidak mahu mempelajari teknik yang betul untuk menanam pokok dan menjaga landskap menyebabkan pokok mati dan landskap idaman hanya bertahan sebulan dua.
Ada beberapa tip penjagaan landskap yang perlu diberikan perhatian untuk memastikan laman terus cantik dan kekal lama.Perkara utama dalam penjagaan landskap adalah penyiraman pokok yang perlu dilakukan untuk memastikan jumlah air mencukupi diserap tisu tumbuhan.

Persoalannya, bagaimana anda mengetahui bila dan berapa banyak air diperlukan oleh setiap pokok? Kita tahu bahawa pokok memerlukan air untuk hidup, tetapi terlalu banyak air boleh menjejaskan pertumbuhan pokok. Justeru, tentukan jenis pokok yang ditanam, kerana sesetengah pokok memerlukan sedikit air manakala ada yang memerlukan air dengan banyak. Contohnya pokok Bougainvillea spp. (bunga kertas) tidak memerlukan air yang banyak. Membuang pucuk pokok menggalakkan pertumbuhan daun.

Siraman kawalan juga perlu dilakukan kerana faktor tanah dan keadaan cuaca juga memainkan peranan penting dalam menentukan kuantiti air yang diperlukan.Tanah liat biasanya memerlukan sedikit air kerana ia mengandungi air yang banyak manakala tanah berpasir memerlukan kuantiti air yang lebih. Dalam keadaan cuaca yang panas terik, lebih banyak air diperlukan. Penyiraman tidak diperlukan selepas hujan lebat.

Secara umumnya, siraman perlu dibuat dua kali sehari. Waktu yang sesuai untuk penyiraman adalah pada sebelah pagi, selok-eloknya sebelum jam 11 pagi dan di antara jam 3.30 petang hingga 7 malam untuk siraman kedua. Elakkan sama sekali penyiraman pada waktu tengahari. Kekerapan menyiram bergantung kepada keperluan pokok.

Satu lagi aspek yang penting untuk menjaga laman adalah pemangkasan pokok. Pemangkasan menyebabkan tekanan kepada pokok, jadi jangan pangkas jika tidak ada tujuan spesifik atau tanpa idea kesannya. Tujuan pemangkasan adalah untuk kesuburan, membentuk pokok, keselamatan, penggalakan dan pengeluaran bunga serta buah.

Pemangkasan yang betul boleh mencantikkan pokok dan jika tersalah potong menyebabkan pokok hilang kecantikan, bentuk atau akan rosak. Memotong dahan yang mati atau cedera serta membuang tunas air juga termasuk dalam kerja pemangkasan untuk kesuburan pokok. Pemangkasan dapat menggalakkan pertumbuhan tunas baru dan menambah baik kualiti dan kuantiti bunga.

Aspek seterusnya adalah pembajaan. Baja penting untuk tumbesaran pokok dan ramai menganggap bahawa lebih banyak baja digunakan, pokok akan tumbuh dengan lebih subur. Namun, sebenarnya kegunaan baja yang berlebihan boleh menjejaskan kesuburan pokok dan mungkin boleh menyebabkan pokok mati.

Baja boleh dikategorikan kepada dua iaitu organik dan in-organik. Bentuk baja yang terdapat di pasaran adalah baja butiran yang lengkap dengan nutrien NPK; baja cecair yang lazimnya disembur ke permukaan daun; baja debu yang digaul dalam tanah campuran atau ditabur atas tanah dan baja yang dikeluarkan secara perlahan-lahan.

INFO: Tip penjagaan laman

# Tentukan jenis pokok dan tanah. Selidiki cara penjagaan pokok berdasarkan jenisnya serta kesesuaian tanah
# Siraman - Tentukan waktu sesuai untuk menyiram iaitu selok-eloknya sebelum jam 11 pagi dan di antara jam 3.30 petang hingga 7 malam untuk siraman kedua. Elakkan sama sekali penyiraman pada waktu tengahari.
# Pemangkasan - Jangan pangkas jika tiada sebarang tujuan atau tanpa idea kesannya. Tujuan pemangkasan adalah untuk kesuburan, membentuk pokok, keselamatan, penggalakan dan pengeluaran bunga serta buah.
# Pembajaan - Penting untuk tumbesaran pokok dan ramai menganggap bahawa lebih banyak baja digunakan, pokok akan tumbuh dengan lebih subur.

No comments:

Post a Comment